Pay Pal

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Tuesday, March 27, 2012

Khasiat Bawang Perai


bawang perai
Satu lagi sayuran yang sangat berkhasiat. Sesetengah orang mengenalinya dengan nama bawang perai. Manakala ada juga yang mengenalinya dengan nama daun bawang. Walau apa pun nama sayuran ini dipanggil, bawang perai mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
Bawang perai nama saintifiknya allium porrum telah ditanam semenjak zaman Mesir kuno. Malah, sayuran yang turut dikenali dengan nama ‘leek’ ini mempunyai sejarahnya yang agak lama. Walaupun bawang perai dikatakan berasal dari Asia Tengah, namun begitu sayuran ini telah ditanam di daerah tersebut dan juga Eropah selama beribu tahun.

Orang Greek dan Roman kuno amat menghargai bawang perai kerana kebaikannya terhadap tekak. Ahli falsafah Greek bernama Aristotle dikatakan telah berkata bahawa suaranya yang sentiasa jelas adalah disebabkan mengamalkan pengambilan bawang perai dalam pemakanan sehariannya. Sementara Maharaja Roman bernama Nero pula dikatakan telah memakan bawang perai setiap hari bagi membuatkan suaranya sentiasa kuat bertenaga.
pokok bawang perai
bunga bawang perai
bunga bawang perai ~ closed up ~
Pokok bawang perai ditanam sama seperti bawang ditanam. Bawang perai termasuk dalam keluarga liliacceae atau lily. Sayuran ini juga merupakan tanaman paling sederhana dalam genus bawang dan tumbuh dengan baiknya jika tanah lembap. Bawang perai merupakan tumbuhan berbunga yang mempunyai daun lebar. Daunnya yang bertindih di antara satu sama lain ini membentuk batang bulat yang boleh tumbuh hingga setinggi dua kaki. Disebabkan termasuk dalam keluarga bawang, maka bawang perai juga mempunyai bau dan rasa yang agak sama seperti bawang itu sendiri.

Turunkan tahap kolesterol tidak baik

Sebagai sayuran yang mempunyai khasiat tersendiri, bawang perai mempunyai kandungan khasiat dan mineral seperti protein, vitamin C, sulfur, minyak asas serta rendah kandungan sodium. Bahagian daun bawang perai yang berwarna hijau dikatakan lebih berkhasiat daripada bahagian yang lembut. Apa yang menariknya, selain dijadikan sayur, kadang kala bawang perai dimakan mentah disebabkan rasa bawangnya yang sederhana.

Banyak kebaikannya apabila mengambil bawang perai untuk tujuan perubatan. Malah dikatakan pengambilan sayuran daripada genus allium dikatakan mampu menurunkan sepenuhnya kolesterol dan LDL, atau tahap kolesterol tidak baik, dan pada masa yang sama menaikkan HDL, atau tahap kolesterol baik. Penurunan kolesterol tidak baik adalah penting untuk mencegah perkembangan plak saluran darah yang berlaku dalam atherosclerosis dan penyakit jantung diabetik.

Tinggi khasiat, rendahkan tekanan darah

Bukan itu sahaja, dikatakan sayuran allium mampu merendahkan tekanan darah tinggi yang juga merupakan salah satu risiko kepada serangan jantung dan strok.

Mengurangkan risiko penyakit kanser

Pengambilan sayuran allium dengan kerap dikatakan mampu mengurangkan risiko penyakit kanser prostate dan kolon. Penyelidikan yang memfokuskan kepada kanser kolon mengatakan bahawa beberapa sebatian yang dijumpai dalam makanan sebegini mampu untuk memelihara sel-sel kolon daripada toksin penyebab kanser. Pada masa yang sama, mampu menghentikan pertumbuhan dan penyebaran sebarang sel kanser yang mungkin berkembang.

Bawang perai dikatakan kaya dengan kaempferol. Malah penyelidikan berkaitan pengambilan flavonoid dalam 66,640 dalam Kajian Kesihatan Jururawat antara 1984 dan 2002 mendedahkan bahawa wanita yang mengamalkan pemakanan seharian yang lebih kaempferol mempunyai pengurangan risiko kanser ovari kira-kira 40% jika dibandingkan dengan wanita yang memakan makanan kurang kaempferol.

Menstabilkan gula dalam darah

Bawang perai juga merupakan sumber terbaik bagi mineral mangan dan vitamin B6, vitamin C, folat dan besi. Gabungan khasiat ini juga membuatkan daun bawang mampu membantu menstabilkan gula dalam darah dengan cara memperlahankan penyerapan gula daripada sistem usus, serta mempastikan khasiat ini diproses dengan baik dalam tubuh.

Walaupun terdapat pelbagai kebaikan dan khasiat bawang perai, namun begitu sebelum menggunakannya, anda perlulah mendapatkan nasihat pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kemudaratan di kemudian hari kelak.

No comments: