Pay Pal

Sign up for PayPal and start accepting credit card payments instantly.

Tuesday, March 27, 2012

Khasiat Labu


Labu
Orang Jepun panggil 'nimono', maka saya belilah ½ biji labu. Taksampai hajat nak buat nimono, tapi saya masukkan potongan labu dalam ayam masak kicap. Sedap juga... Labu sangat terkenal dengan khasiat pemakanannya. Hari ini saya kongsikan info tentang labu. Selamat menjamu selera...
Labu 'rebus' kicap (kabochia nimono) ~ gambar cilok
Labu memang sedap untuk dimakan. Tidak kiralah sama ada dijadikan sebagai sayur mahupun bahan untuk membuat kuih-muih. Malah menurut sejarah, asal kegunaan labu adalah sewaktu penjajah di Amerika memotong bahagian atas buah labu, membuang bijinya dan kemudiannya mengisi buah itu dengan susu, rempah dan madu. Buah ini kemudiannya dijadikan pai dan dibakar di atas abu panas.

Morfologi

Dikenali dengan nama pumpkin dalam bahasa Inggeris, labu dikatakan berasal dari Amerika Tengah dan sebahagian daripada keluarga tanaman yang dikenali dengan nama Cucurbitaceae. Adalah tidak sesukar mana untuk mengenali buah labu. Ada lima species buah labu yang dikenali umum iaitu :
  1. Cucurbita maxima Duchenes
  2. Cucurbita ficifolia Bouche
  3. Cucurbita mixta
  4. Cucurbita moschata Duchenes dan
  5. Cucurbita pipo L.
Kelima-lima spesies dikenali sebagai labu kuning kerana mempunyai ciri-ciri yang hampir sama. Buah labu berbentuk bulat pipih, lonjong atau panjang dengan banyak alur, antara 15-30 alur. Labu termasuk dalam kategori buah dan mengandungi kira-kira 90% air. Buahnya besar dan warnanya variasi. Buah muda berwarna hijau manakala buah matang berwarna kuning atau jingga. Warna kuning dan jingga isi buah labu menunjukkan buahnya mengandungi antioksidan yang tinggi. Isi buah labu agak tebal iaitu kira-kira tiga sentimeter dan rasanya agak manis. Kulit buah labu sangat tebal dan keras.
Labu labu labu 
Kaya pelbagai khasiat

Terdapat pelbagai khasiat di dalam sebiji labu. Antaranya adalah beta karotena yang bertindak sebagai agen antioksidan yang dikatakan telah menunjukkan khasiatnya bagi memperbaiki fungsi imun dan mampu mengurangkan risiko penyakit seperti kanser dan penyakit jantung. Buah labu dikatakan mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang tinggi, termasuklah beta karotena, kalsium, fosforus, zat besi, magnesium, kalium, natrium, zink, selenium, niasin, folat, karbohidrat dan vitamin A, B1, C dan E. Dikatakan satu cawan labu mengandungi kira-kira 50 kalori dan 3 gram serat. Nutrisi yang terkandung menjadikan labu kuning berkhasiat meningkatkan lagi kekebalan tubuh. Kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menyatakan sumber serat atau fiber yang tinggi dalam labu turut berfungsi mengawal nafsu makan.

Beta karotena bertindak sebagai barisan pertahanan pertama di dalam badan bagi meneutralkan serangan radikal bebas terhadap sel dan sebagai antioksidan yang penting dalam memperlahankan proses penuaan serta memperbaiki sel-sel badan yang telah rosak secara perlahan-lahan. Selain kandungan beta karotena mampu berfungsi untuk mencegah serangan jantung, kandungan vitamin B1, C dan serat dalam labu pula berperanan sebagai pencegah penyakit jantung dan strok. Labu juga berupaya mengubati penyakit ringan seperti demam, migrain, cirit-birit, penyakit ginjal, gout serta membantu menyembuhkan radang.

Banyak kegunaan labu sama ada untuk tujuan makanan mahupun ubatan. Pokok labu itu sendiri juga banyak kegunaannya. Daun pokok labu dikatakan mampu berfungsi sebagai sayur dan bijinya bermanafaat untuk dijadikan kuaci. Air jus buah labu pula dikatakan berguna sebagai penawar racun binatang berbisa, sementara bijinya pula boleh dijadikan ubat membunuh cacing pita dalam perut.
Pokok labu hidup menjalar
Daun labu merah pula bagus direbus untuk dijadikan penawar cirit-birit atau demam. Boleh juga ditumbuk kasar untuk diletakkan pada otot yang sakit.

Orang India Amerika dikatakan telah menggunakan kulit labu kering untuk dijadikan tikar manakala biji labu dijadikan makanan dan ubat. Malah pada suatu ketika dikatakan bahawa dengan memakan labu, mampu membuang jeragat dan menyembuhkan gigitan ular.
Bunga labu closed up
Baik untuk organ peranakan manusia

Buah labu juga dikatakan amat digemari oleh masyarakat Melayu. Ada pendapat yang mengatakan labu elok dimasak kerana ia mengandungi zat yang berguna untuk kesihatan. Kandungan galian besi dan magnesium yang terdapat dalam biji buah labu dikatakan sangat penting untuk kesihatan organ peranakan wanita selain kelenjar prostat lelaki. Hipertrofi prostat adalah salah satu penyakit yang digeruni kaum lelaki kerana kerosakan terhadap kelenjar menyebabkan kemandulan.

Kajian pelbagai pihak turut mendapati biji buah labu berupaya mengatasi masalah penyakit yang melibatkan pembesaran kelenjar prostat serta mampu mengembalikan daya seksual wanita. Di Eropah dan Amerika, biji labu merah sangat popular sebagai ubat pencegah gangguan prostat.

Walaupun terdapat pelbagai khasiat dan kegunaan labu, namun begitu penggunaannya perlulah mendapat nasihat daripada pengamal perubatan terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan kelak.

No comments: